Friday, February 03, 2006

Kartun Muhammad—Praktis Demokrasi







MEDIA, ada kalanya ‘menguji’ massa. Lalu, ‘massa’ pun diuji dengan kebebasan. Dari sana, protes muncul. Naratif ini termasuk berlaku kepada isu Kartun yang digambarkan sebagai Muhammad S.A.W—nabi jungjungan umat Islam.

Sebermula perlu diperakui oleh umat Islam di negara ini bahawa semua Nabi sebelum Muhammad juga harus diyakini sebagai “Nabi umat,” bukan sebagai yang lain, termasuk Isa yang membawa agama Kristian, misalnya. Lantas, yang menjadi kemarahan bukan kartun, tentunya, dan yang menjadi kemarahan adalah apabila diterbitkan di dalam akhbar; dengan dimulakan oleh akhbar di Denmark, Jyllands-Posten pada Oktober tahun lalu dan kemudiaan dicetak kembali oleh beberapa media di Perancis, Jerman, Sepanyol dan Itali. Kartun dalam satu halaman itu dihasilkan beberapa pelukis seperti Claus Seidel dan Rasmus Sand Høyer.

Jyllands-Posten menjangkaui pengedaran sebanyak 150 ribu pada hujung minggu dan sejak 1938 jelas menyokong parti konservatif di Denmark selain mendakwa diri membawa haluan “independen-kanan” sejak ditubuhkan.

Editor yang menerbitkan kartun itu berhujah daripada sudut “hak untuk mencerca”, atau dengan apa yang disebut sebagai "right to blasphemy". Hujah sebegitu tentu masih sulit difahami di negara-negara yang tidak punya latar yang jelas tentang “tafsir domestik” menyentuh demokrasi dan kebebasan sepertimana, misalnya, Amerika. Di Denmark sendiri tafsir “liberal” masih terkait dengan maksud yang sangat tradisionalis sepertimana yang difahami dan diakui sendiri oleh Jyllands-Posten sebagai “dasar” organisasi media berkenaan.

Umumnya di Timur, “cerca” belum sepenuhnya menjadi sesuatu yang bersifat politikal. Tidak ditafsir atas “keperluan politik.” Kata itu lebih dekat kepada tafsir “nilai” dan keperibadian. Atas teras inilah, apabila kartun Muhammad itu disiarkan, maka umat Islam merasakan bahawa Nabi-nya telah dihina. Penghinaan itu tentunya boleh dilihat sebagai “dengan niat.”

Dari titik perbezaan ini, sentimen selalu terbit—kemarahan jadi senjata. Di Malaysia, akhbar-akhbar segera mencetak berita tersebut dari sudut yang seolah-olah cuba menunjukkan bagaimana ada kekuatan tersembunyi umat Islam yang perlu ‘dibangkitkan’ untuk menentang “agenda tersirat Barat.”

Utusan Malaysia pada 3 Februari lalu (Jumaat) menerbitkan berita bertajuk “Kartun Nabi Muhammad: 3 negara sasaran kumpulan bersenjata” yang dipetik daripada Agensi melibatkan ancaman bunuh ke atas rakyat Denmark, Perancis dan Norway oleh sebuah kumpulan bersenjata di Palestin. Begitu juga pada hari yang sama Harakahdaily yang memaparkan desakkan Dewan Pemuda Pas dalam rencana bertajuk “Hina Nabi, Pemuda PAS gesa Kerajaan Denmark mohon maaf secara rasmi.”

Demikian selepas beberapa hari isu ini ‘dipanaskan’ di dada media, satu demontrasi dilaporkan dianjurkan oleh pengikut Pas diadakan di hadapan kedutaan Denmark di Kuala Lumpur selepas sembahyang Jumaat, 3 Februari lalu. Tunjuk perasaan yang sama juga berlangsung di beberapa negara Timur Tengah dan Pakistan, sekain di kota London pada hari yang sama.

Ulama terkemuka, Sheikh Yusuf al-Qaradhawi juga mengeluarkan seruan untuk menjadikan Jumaat seminggu lalu sebagai “hari kemarahan Tuhan dan RasulNya di peringkat antarabangsa.” Bahkan, dilaporkan oleh Arab News bahawa Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) yang dianggotai 57 buah negara melalui Setiausaha Agungnya, Ekmeleddin Ihsanoglu mendesak agar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) campur tangan untuk menyelesaikan isu ini. Negara-negara Liga Arab, yang diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Ahmad Ben Helli juga membuat desakan yang sama.

Namun, beberapa hari lalu, seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar di United Kingdom, Telegraph (3 Januari 2006) Perdana Menteri Denmark, Anders Fogh Rasmussen dipetik sebagai berkata dan berjanji untuk mengambil berat dan melihat isu berkenaan dari teras praktis demokrasi.

Tentunya, yang lebih penting ialah kemelut ini segera dirungkai ketika proses globalisasi menuntut sikap matang Timur-Barat. Oleh itu, kita harus melihat bahawa tidak semua protes itu jernih dan tepat; sepertimana tidak semua yang tidak protes itu juga begitu. Maksudnya, tujuan dan hasrat sesuatu bantahan itu harus punya renungan yang cukup; yang cukup sedar. Rasionaliti dan segala kesedaran saat kebebasan tiba adalah penting; adalah penting untuk taksir kebebasan itu tidak diletakkan pada tingkat yang sangat cetek.

Kerana itu tidak hairanlah kalau di Malaysia kebebasan dianggap ‘marabahaya’. Sayang sekali apabila ada beberapa akhbar-akhbar di Barat bersifat seperti umumnya akhbar arus perdana di Malaysia… dengan kematangan dan “kewarasan” pun tidak lagi menjadi bagian kerja media.—Jinnie Lee [Sariberita]

[kembali ke halaman utama]

1 Comments:

Blogger blokbatu said...

Akhirnya kebebasan dan jernih berfikir dikorbankan di altar Dewa Kemarahan.Tiada lagi karikatur selepas ini,tiada lagi satira,dan tiada lagi apa-apapun.....atas alasan kebebasan itu mampu menerbitkan penghinaan, maka yang "berkuasa" atau ingin kepadanya akan mengorbankan kebebasan itu. Masyarakat akan ikut mencemburuinya....sial memang sial

9:33 PM  

Post a Comment

<< Home